Bismillahirahmanirrahim...
" Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang "
Assalamua'laikum W.B.T...
Moga kita semua sentiasa dalam RAHMAT dan KEREDHAAN-NYA... amin..
Setelah sekian lama, blogku sepi tanpa coretan..., tiba-tiba jari jemari ini terasa ingin mempersembahkan tarian dari sebuah coretan cerita yang telah lama dilakarkan... Yang BAIK dijadikan TELADAN.., yang BURUK dijadikan SEMPADAN....(^_^)
..........................................................................................................................................
“Adakah ini yang dinamakan dentuman cinta pandang pertama?” hatinya bermonolog bersendirian. “ Ah, ini semua bisikan syaitan untuk menyesatkan hambanya. Tidak mungkin aku boleh jatuh cinta padanya. Ini kali pertama aku melihatnya. Ya Allah, engkau peliharalah hatiku ini seperti mana engkau telah memelihara hati hamba-Mu yang soleh.”
Nurul Iman Aisyah seindah namanya menawan budi bahasanya secantik orangnya. Ramai kaum adam yang cuba mendekatinya, tetapi semuanya tidak berjaya. Di sebalik kelembutan pekertinya, tersembunyi sifatnya yang sangat tegas pada pendiriannya. Berpegang pada prinsip Al-Quran dijunjung, As-Sunah disanjung. Dibesarkan dalam keluarga yang penuh menjaga adab dan tatasusila yang berlandaskan prinsip Al-Quran dan As-Sunah. Merupakan anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Dia adalah seorang yang sangat menjaga kehormatan diri dan keluarganya. Merupakan pelajar tahun ketiga dalam bidang perubatan di salah sebuah universiti tempatan. Sifat dan perwatakannya sangat disenangi oleh para pensyarah dan kawan-kawannya.
Syed Aiman Lutfi berketurunan Melayu kacukan arab dan merupakan anak bongsu dalam keluarganya. Beliau sedang mengikuti pengajian sarjana dalam bidang syariah setelah menamatkan sarjana muda dalam bidang perubatan. Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang penuh kemewahan tetapi kehidupan berlandaskan syariat Islam tetap menjadi pilihan keluarganya. Berpendirian tegas dengan perwatakannya yang sangat menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan. Dia juga dikenali sebagai seorang yang sombong dalam kalangan kaum hawa di tempat pengajiaannya. Sombong bukan meninggi diri tapi kerana menjaga adab dan ikhtilat demi menjaga maruahnya untuk mengelakkan fitnah pada dirinya.
“ Kenapa aku merasakan yang diriku sedang diperhatikan”, getus hati kecil Iman.
“Mungkin ini semua hanya perasaanku sahaja. Tapi aku pernah melihat wajah lelaki ini beberapa kali sebelum ini, tapi di mana ya?”, bisik Iman sendirian.
“Ya Allah, ya Tuhanku, jika benar aku diperhatikan, jauhkanlah aku dari pandangan nafsu manusia. Campakkanlah pada hati mereka pandangan yang kosong dari bisikan syaitan agar mereka masih lagi dihiasi iman dan peliharalah aku dan mereka dari bahang api neraka. Ya Allah, jauhkanlah aku dari menjadi fitnah kepada kaum Adam..Amin”
“ Nurul Iman Aisyah Binti Ahmad Luqman Hakimi, kamu ditugaskan sebagai timbalan setiausaha kepada Syed Aiman Lutfi Bin Syed Amirul Hisyamuddin untuk program “Cakna Siswa Siswi Malaysia”, arah pengarah program tersebut saudara Kamarul. Keduanya-duanya tersentap dan terkejut tapi masing-masing dapat mengawal keadaan agar tidak disedari oleh ahli mesyuarat yang hadir. Setelah habis sahaja perjumpaan untuk program tersebut masing-masing memulakan perbincangan dengan timbalan masing-masing untuk meneruskan langkah bagi gerak kerja yang akan di buat melainkan Iman dan Lutfi. Mereka masing-masing sibuk untuk ke kelas masing-masing.
“Ain, pagi esok temankan Iman boleh? Ada ceramah di surau Solihin. Ustaz dari UIAM yang akan bagi pengisian”, cerita Iman kepada sahabat baiknya tanpa ditanya.
Ain memberi jawapan dengan hanya senyum yang menguntum di bibir. Masak benar dia dengan jiwa Iman. Di mana sahaja ada pengisian yang berbentuk ilmiah kelibat Iman pasti akan muncul di sana untuk mengutip mutiara-mutiara hikmah dari para ilmuan. Segala-galanya ditadah terus ke minda untuk menyuluh dan memberi sinar bagi santapan rohaninya.
Pagi itu setelah selesai solat subuh berjemaah dia mencapai Al-Quran yang sentiasa bersamanya untuk membaca dan menghayati makna setiap baris bait-bait puisi indah itu sementara menunggu waktu solat sunat Dhuha. Itulah jam biologinya sebelum memulakan apa-apa aktiviti paginya dengan perkara yang lain atau sebelum ke kulliyah. Tiada lagi bait-bait puisi yang indah melainkan alunan Al-Quran. Tenang jiwanya sejernih wajahnya menghiasi peribadinya dengan bibirnya sentiasa basah dengan zikrullah dan hatinya selalu lembap dengan kalamullah. Setelah selesai solat sunat Dhuha dia mencapai kunci kereta dan Ain bersamanya untuk ke ‘taman syurga’ yang akan bermula pada pukul 10.00pagi. Perjalanan dari rumah mereka ‘taman syurga’ itu mengambil masa setengah jam. Keretanya dipandu dengan cermat dan mereka telah memulakannya dengan doa yang telah diajar oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W.
“ Maha suci Allah S.W.T yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.”
“ Ya, Allah kenapa hatiku berdebar-debar. Hanya-Mu ya Allah, yang mengetahui segala-galanya yang akan berlaku dan sedang berlaku. Jadikanlah apa sahaja yang akan berlaku adalah kesudahan yang baik bagi kami. Amin..” hati kecil Iman bersuara. Dia yakin dengan qada’ dan qadar yang telah Allah tetapkan adalah yang terbaik buatnya dari tuhan sekalian alam. Sebaik sahaja sampai di surau Solihin penceramah telah pun memulakan ucapan alu-aluan. Hatinya semakin berdebar-debar. Suara itu selalu didengarnya sewaktu ketika dulu persis bakal suaminya Ahmad Irfan Zaki. Tapi ini semua tidak mungkin, sepintas hatinya beristighfar memohon ampun kepada Allah. Dia membetulkan kembali niat dan tujuannya ke sini adalah untuk mengutip butiran emas untuk mendapatkan keredaan Allah S.W.T semata-mata. Kotak mindanya membawa dia pada hadis pertama dalam pengajian “Kitab Hadis 40” yang dipelajarinya ketika di pondok Al-Taqwa. Hadis itu telah menjelaskan tentang niat mengenai sesuatu perkara atau perbuatan yang kita lakukan agar memperoleh pahala, ganjaran dan keberkatan Allah sekali gus menjadikannya ibadat di sisi Allah S.W.T. Hadis itu menjadi hadis yang pertama yang dibincangkan dalam kitab itu. Ini menunjukkan bertapa pentingnya segala amalan dimulakan dengan niat. Jika baik niatnya maka baiklah kesudahannya. Ini juga yang selalu diingatkan oleh kedua orang tuanya kepada dia dan adik-beradiknya yang lain. Ayahanda dan bondanya tidak mahu anak-anak mereka menjadikan dunia adalah tujuan dan pengabdian dunia mestilah untuk menanam benih-benih untuk tuaian akhirat. Dunia hanya di tangan bukannya di hati untuk dinikmati. Dia terus menumpu kepada butiran mutiara ilmu yang di curahkan itu. Perasaan dan lamunan itu dibiarkan terus berlalu tanpa diendahkan. Tanpa disedari manik mutiara jernih jatuh ke pipinya. Isi ceramah itu sangat terkesan pada dirinya. Ain yang menyedari perubahan pada sahabatnya itu terus memeluk erat sahabatnya. Isi ceramah yang bertajuk “Indahnya Islam Mewarnai Kehidupan” benar-benar membawa dirinya semakin hampir kepada pencipta-Nya.
“Apa itu Islam? Ramai yang boleh memberi jawapannya tentangnya tetapi berapa ramai yang beramal dan melakukan apa yang diperkatakannya.” penceramah mula merangsang pemikiran para hadirin yang hadir.
“ Islam itu mengucap dua kalimah syahadah, solat lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji bagi yang mampu.” Begitulah maksud dalam hadis 40 yang telah diterangkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W pembawa Islam utusan Allah.
“ Persoalannya berapa ramai yang memahami ucapan syahadah itu secara tersiratnya. Berapa ramai ibu bapa yang mengajar anak-anak mereka dengan ucapan syahadah sebaik sahaja permata hati mereka boleh bercakap? Ucapan itu kadangkala dianggap hanya sebagai lafaz yang tidak bermakna pada cahaya hati dan sinar sanubari mereka. Kenapa ini berlaku? Sebab kita dilahirkan sebagai seorang Islam atau dengan kata lainnya kita menjadi Islam disebabkan keturunan dan kita tidak pernah bersyukur dengan keislaman kita. Tepuk dada tanyalah iman. Sampai bila keadaan ini akan berterusan dan sampai bila keturunan kita hanya menjadikan Islam sebagai agama yang dianuti sahaja tetapi tidak pada amalan dan cara hidup. Ingatlah wahai diri yang sedang berbicara dan ingatlah wahai hadirin yang sedang mendengar, pengabdian kita hanya kepada pencipta sekalian alam iaitu Allah yang maha Esa bukan kepada ciptaan-Nya iaitu dunia yang fana’. Berapa ramai dalam kalangan kita yang mendahulukan dunia berbanding kewajipan kita sebagai hamba-Nya? Mengagungkan dunia melebihi akhirat sedangkan destinasi kehidupan kita adalah negeri akhirat yang kekal abadi dan tujuan hidup kita adalah satu iaitu mencari redha Ilahi. Sama-samalah kita persoalkan kembali pada diri masing-masing. Siapa kita sebenarnya? Kenapa kita berada di dunia yang fana’ ini? Kalaulah jawapan kita adalah sebagai hamba-Nya, persoalkan kembali apa pula tugas kita sebagai seorang hamba dan jika kita menjawab kita adalah khalifah, apa pula tugas sebagai seorang khalifah? Layakkah kita menggelarkan diri kita sebagai khalifah jika tanggungjawab kita sebagai seorang hamba pun masih belum lagi dapat dilaksanakan.” Persoalan demi persoalan dilontarkan oleh penceramah bagi merungkai persoalan Islam yang kadangkala tidak pernah terfikir oleh kita selaku insan yang sentiasa alpa dan leka dengan nikmat Iman dan Islam yang telah diberikan oleh Allah S.W.T. Segala persoalan telah membuka ruang minda yang telah disempitkan selama ini dan sekali gus telah membuatkan untuk kita lebih berfikir dan merenung asal usul kejadian kita. Bertapa indahnya Islam mewarnai kehidupan. Menjadikan Islam cara hidup adalah nikmat yang terbesar yang harus kita semua syukuri.
“ Pernahkah kita bertanya, kenapa orang mualaf lebih arif tentang Islam berbanding kita yang telah lahir sudah pun menjadi orang Islam? Kita sebenarnya antara yang telah dipilih oleh Allah untuk lahir dalam Islam tidak seperti sesetengah yang dilahirkan bukan dalam Islam dan mereka perlu mencari cahaya hidayah Allah untuk menjadi seorang Islam. Bermula dari bangun daripada tidur sehinggalah tidur kembali atau mati kecil telah pun diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. Berapa ramai keluarga yang mengamalkan doa-doa yang telah diajarkan oleh baginda nabi Muhammad S.A.W.? Begitu tertibnya Islam mengajar penganut dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Dari masuk tandas sehinggalah pentadbiran negara. Belum lagi kita masuk bab solat. Berapa ramai yang tidak solat? Bukankah solat itu tanggungjawab bagi setiap individu muslim? Solat itu telah membezakan antara orang Islam dan orang bukan Islam. Persoalan solat adalah persoalan yang serius yang tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat yang mengaku Islam. Antara persoalan yang utama yang akan dipersoalkan di padang mahsyar nanti adalah solat? Berapa ramai pula yang solat di awal waktu? Bukankah yang telah diajar oleh pesuruh Allah ialah solat di awal waktunya. Bagaimana pula cara solat yang betul.
“ Solatlah sebagaimana aku solat” itulah maksud hadis. Bagaimana pula kita nak melihat cara nabi solat sedangkan kita tidak hidup bersama nabi? Berbalik lagi kepada hadis nabi “ Ulama itu adalah pewaris para nabi ” jadi lihatlah cara ulama-ulama solat .
Dengan panjang lebar dan terperinci ustaz tersebut menjawab butiran-butiran yang tersirat di sebalik luahan katanya yang tersurat.
“ Your life is your choice. Ingatlah wahai saudara seagamaku. Kekasih Allah pernah menitipkan kalam amanah buat kita. “ Tidak akan sesat ummatku selama-lamanya selagi mereka berpegang dengan Al-Quran dan As-Sunah”. Dialah utusan Allah, rahmat sekalian alam teladan umat sepanjang zaman.” Penceramah tersebut mengakhiri kalam emas jambangan ilmu.
“ Terima kasih diucapkan kepada ustaz Syed Aiman Lutfi”, ucap pengacara majlis. Sekali lagi Iman tersentap dan terkejut. Kenapa aku berdebar setiap kali nama ini disebut. Ya Allah, adakah ini semua adalah petunjuk-Mu bagi menggantikan yang telah engkau ambil?. Aku berserah pada-Mu ya Allah. Jika ini pilihan-Mu akan ku terima dengan ikhlas dan hati yang terbuka. Tapi jika ini mainan musuh-Mu, engkau jauhkanlah ini semua dariku. Selepas solat zuhur berjemaah yang diimani oleh Ustaz Syed Aiman Lutfi, Iman bergegas ke keretanya bersama Ain.
“Ustazah Nurul Iman Aisyah”, sekali lagi Iman tersentap dan berdebar-debar mendengar suara itu lantas berpaling ke belakang sebaik namanya dipanggil. Dia tersentap lantas bibirnya terus beristighfar setelah melihat kelibat seorang lelaki di belakangnya. Tanpa disangka keretanya bersebelahan kereta......
Bersambung minggu hadapan....hehehehehe..(^_^)
Bersambung minggu hadapan....hehehehehe..(^_^)
menarik!!
ReplyDeleteblh dikembangkan lg..
Gud Luck kak long..:-)
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteinsyaAllah dik... (^_^)
ReplyDeletethanks dik..doakan kak long yea..mudah2 bermanfaat untk semua..:)
masyitah kan???..:P